Agensi Berita Ahlul Bait (ABNA24) - Sekumpulan penunjuk perasaan yang marah telah turun ke jalan raya di seluruh Amerika Syarikat sambil melaungkan slogan 'bukan presiden kami' berikutan kemenangan Trump ke atas calon Demokrat, Hillary Clinton di dalam pilihan raya Presiden A.S. Para penunjuk perasaan juga dilaporkan membakar objek-objek dan memecahkan cermin dalam rangka melepaskan kemarahan mereka.
Tunjuk perasaan yang berlaku di seluruh A.S itu walaubagaimanapun lebih dapat dirasai di wilayah Pantai Barat negara tersebut.
Lebih daripada 100 orang penunjuk perasaan yang kecewa dengan keputusan pilihan raya A.S tersebut telah berkumpul di Portland, Oregon pada pagi Rabu.
Para penunjuk perasaan melaungkan slogan anti-Trump sambil menghalang trafik di kawasan tersebut. Sebahagian mereka juga didapati membakar bendera A.S sambil membuang sampah di jalan.
Kemenangan Trump juga mencetuskan protes pada awal Rabu di seluruh negeri California. Para penunjuk perasaan berkumpul di jalan raya dan juga di kampus-kampus kolej.
Para penunjuk perasaan secara terbuka menolak Trump sebagai bakal Presiden A.S dan sebahagian juga dilaporkan melakukan perbuatan vandalisme dalam rangka menunjukkan kemarahan dan kesedihan mereka di atas keputusan pilihan raya presiden.
Sebuah protes yang diwarnai dengan keganasan juga dilaporkan tercetus di San Francisco dan Oakland yang terletak berhampiran di antara satu sama lain. Para penunjuk perasaan dikatakan membakar patung Trump dan memecahkan tingkap kaca bangunan-bangunan sekitar.
Seramai 1500 orang juga telah berkumpul di Universiti California yang terletak di Los Angeles (UCLA) sejurus selepas Trump menyampaikan ucapan kemenangannya di bandar New York.
Para pelajar Universiti California di kampus Santa Barbara, Santa Cruz, Irvine dan San Diego juga turut serta menganjurkan protes-protes berkaitan.
Trump yang berusia 70 tahun akan menjadi Presiden A.S tertua pada penggal pertama perkhidmatan setelah menewaskan calon parti Demokratik di dalam sebuah persaingan yang dipenuhi dengan pelbagai insiden. Semasa kempen beliau, Trump telah menjadi objek kemarahan parti Demokrat dan sebahagian pihak daripada parti Republikan sendiri.












